| Jagung komoditi terbaru Perlis |
|
KANGAR 27 Sept. – Selepas berjaya mengusahakan tanaman mempelam Harumanis sehingga memasuki pasaran Jepun, Perlis kini mahu menjadikan jagung sebagai satu lagi komoditi terbarunya. Bagi menjayakan matlamat itu, kerajaan negeri meletakkan para petani sebagai kumpulan sasar utama untuk menggerakkan projek tersebut dengan matlamat mempelbagaikan pendapatan kumpulan berkaitan. Namun begitu, untuk menjayakan projek perintis, kerajaan memilih Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang ahlinya terdiri daripada petani dan peladang untuk melaksanakan projek tersebut. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi negeri, Sabry Ahmad memberitahu, projek perintis ladang jagung akan dijayakan dengan peruntukan awal RM380,000. Sehingga kini, kata beliau, empat PPK sudah disenarai untuk mengemudi projek, sambil diselia oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) negeri melibatkan ladang seluas kira-kira 34 hektar. “Empat PPK itu ialah PPK Bintong, PPK Mata Ayer, PPK Titi Tinggi dan PPK Beseri. Tapak projek untuk PPK Bintong lebih empat hektar, manakala PPK Mata Ayer, PPK Titi Tinggi dan PPK Beseri masing-masing 10 hektar. “Projek pertama untuk tanaman jagung dijadual bermula Ogos ini. Projek tersebut dijayakan oleh LPP dengan kerjasama syarikat perintis iaitu Afnan Teknologi Sdn. Bhd. (Afnan Teknologi). “Syarikat tersebut berfungsi sebagai konsultan projek dan rakan kongsi buat LPP dan PPK. Semua hasil ladang dibeli terus oleh Afnan Teknologi sendiri,” ujarnya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini. Berpandukan rangka kerja, kata Sabry, 40,000 pokok jagung akan ditanam bagi setiap hektar dan ia akan mengambil masa 65 hari untuk memperolehi hasil ladang atau tuaian segar. “Apabila satu hektar boleh menempatkan 40,000 pokok, ini bermakna kita akan memulakan projek dengan 1.4 juta pokok jagung. Setiap pokok pula boleh mengeluarkan dua tongkol jagung. “Afnan Teknologi akan membeli terus semua hasil ladang jagung kerana ia terikat dengan kontrak perjanjian antara syarikat berkenaan dengan kerajaan yang diwakili oleh LPP,” ujarnya. Sabry menyatakan, projek tersebut menjanjikan pulangan yang agak besar kepada setiap PPK kerana berpandukan harga semasa, setiap tongkol jagung mentah dijual dengan harga 50 sen. Beliau berkata, ladang jagung itu nanti akan menggunakan sistem pertanian moden yang diterajui oleh Afnan Teknologi kerana ia turut menggunakan sistem air semburan di ladang. Selain memasarkan jagung segar, kata Sabry, LPP dan Afnan Teknologi akan memaksimumkan pungutan hasil ladang termasuk mengusahakan projek industri hiliran berasaskan hasil pertanian berkaitan. “Selain jualan segar, jagung itu akan menjadi bahan mentah untuk projek industri hiliran seperti makanan dan minuman. Pada masa yang sama, batang jagung pula akan dikitar atau diproses bagi menghasilkan silaj,” ujarnya. Silaj adalah makanan untuk haiwan ternakan terutama lembu yang dihasilkan menerusi proses kitar semula pokok jagung. Proses itu mengambil masa 21 hari manakala silaj boleh disimpan sehingga 12 bulan. |
Iklan IKS 543x70
![]()































