|
Terengganu lancar mini estet |
|
Sumber: UTUSAN MALAYSIA
ARKIB : 18/11/2010 MARANG 17 Nov. - Kawasan tanaman padi berkelompok seluas 1,008 hektar di seluruh Terengganu kini dinaik taraf dan akan diurus secara estet bagi meningkatkan hasil pengeluaran bahan makanan utama itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Asha'ari Idris berkata, dengan pengurusan yang sempurna, hasil padi akan dapat ditingkatkan dari empat metrik tan sehektar kepada enam atau tujuh metrik tan sehektar.
"Malah sasaran itu boleh ditingkatkan lagi sehingga 10 metrik tan sehektar atau lebih dengan adanya perjanjian kerjasama dengan beberapa syarikat swasta yang akan memberi pakej bantuan input pertanian, khidmat nasihat yang boleh diaplikasi secara tepat oleh petani," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mini Estet Padi Terengganu di Dataran Emping, Kampung Undang, Bukit Payong di sini, semalam.
Pada majlis itu Lembaga Pertubuhan Peladang Terengganu yang diwakili Pengarahnya, Shamsuddin Mat Rani menandatangani perjanjian persefahaman dengan empat syarikat bagi menjayakan program mini estet padi di seluruh Terengganu.
Syarikat-syarikat itu ialah Lembing Sakti Marketing & Services, Bayer Co (M) Sdn. Bhd., ACM Sdn. Bhd. dan Sygenta Crop Protection Sdn. Bhd. yang menyediakan maklumat serta memberi khidmat sokongan mengenai penanaman padi.
Asha'ari berkata, penanaman padi di Terengganu sebelum ini menghadapi masalah kerana tidak mengikut jadual sehingga menimbulkan kesukaran untuk mengagihkan jentera tuai apabila padi masak serentak.
"Sebab itu kita wujudkan mini estet padi ini bagi menghadapi masalah berbangkit seperti padi lambat dituai kerana ia masak serentak. Dengan adanya sistem pengurusan mini estet ini kita jangka masalah itu dapat diatasi," katanya.
Beliau berkata, Terengganu kini mempunyai 111 jentera pembajak dan 39 jentera tuai bagi mengerjakan kawasan seluas 13,605 hektar di seluruh negeri itu. - BERNAMA
|